DALANG SINDIKET ‘GOLD MINE INTERNATIONAL’ TUMPAS
DALANG SINDIKET GOLD MINE INTERNATIONAL TUMPAS
KUALA LUMPUR: Seramai empat individu termasuk dalang utama dikenali sebagai Datuk Nadim ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pelaburan dikenali sebagai Gold Mine International.
Semua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun itu diberkas sekitar ibu negara, Selangor dan Kedah, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata setakat ini, pihaknya menerima sembilan laporan berkaitan sindiket itu yang mengakibatkan mangsa kerugian RM930,920.
“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud menerusi empat pakej.
“Ia membabitkan nilai pelaburan antara 100 dolar Amerika Syarikat (USD) (RM420) hingga 10,000 USD (RM42,000) dengan pulangan 10 peratus hingga 13 peratus.
“Keuntungan itu akan meningkat jika jumlah pelaburan semakin banyak. Pelabur boleh memperoleh keuntungan antara RM42 hingga RM5,400 setiap minggu tanpa had,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, di sini, hari ini.
GAMBAR HIASAN
Mengulas lanjut kepada BH Online , Zainuddin berkata, pelabur turut diberikan pautan (link) portal bagi menjana pelaburan berkenaan, namun ia sudah ditutup.
“Selain itu, sindiket itu menawarkan komisen tinggi kepada agen melalui empat peringkat yang memperuntukkan komisen antara dua hingga 10 peratus bagi setiap pelanggan.
“Semua wang pelaburan itu dimasukkan ke dalam lima akaun membabitkan akaun syarikat serta persendirian,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM13,600, beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM) selain beberapa dokumen dipercayai berkaitan pelaburan sindiket berkenaan.
“Semakan lanjut pula mendapati dalang sindiket terbabit pernah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Alor Gajah, Melaka pada 2017 kerana melakukan penipuan pelaburan Crude Palm Oil (PCO).
“Pada masa sama, tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 sudah diambil dan harta miliknya disita,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Kes pelaburan itu disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Mengulas isu sama, Zainuddin berkata, pihaknya giat memburu seorang lelaki, Norafindi Daim, berusia 48 tahun yang beralamat terakhir di Jalan Naib Long, Tangkak, Johor bagi membantu siasatan kes pelaburan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Hateem Ayub Khan di talian 018-914479 untuk tindakan lanjut,” katanya.