4 AHLI GENG SAMUN BERTOPENG AKHIRNYA DITEMBAK MATI
4 AHLI GENG SAMUN BERTOPENG AKHIRNYA DITEMBAK MATI
KUALA LUMPUR: Empat penjenayah yang ditembak mati di jalan di Sungai Buloh pada Jumaat merupakan geng samun bertopeng yang dikehendaki polis sebelum ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, kesemua suspek telah melakukan samun di sebuah rumah di Rawang sebelum terserempak dengan anggota polis.
“Pada jam 1 petang, polis terserempak dengan suspek, tetapi pemandu kereta tidak memberikan kerjasama (tidak berhenti walaupun dikejar).
“(Ketika cuba melarikan diri) kenderaan ini telah melanggar sebuah motosikal Grab yang ditunggang seorang wanita Melayu.
“Apabila dia tidak boleh meneruskan perjalanan ke hadapan, dia reverse (undur) balik melalui jalan bertentangan,” katanya, lapor ASTRO AWANI.
Bagaimanapun, anggota polis cuba menahan suspek, namun salah seorang suspek bertindak agresif keluar dari kenderaan dan menghayun parang ke arah anggota polis.
“Itu menyebabkan kita terpaksa melepaskan tembakan.
“Pada peringkat yang pertama apabila suspek melanggar motosikal Grab itu, dia telah menyeret penunggang Grab itu.
“Pada masa itu juga, bagi menyelamat penunggang Grab, kita telah melepaskan tembakan,” katanya lagi.
Kesemua suspek berusia lingkungan 20 an itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan melarikan diri dari sekatan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Hasil semakan mendapati mereka ini adalah kumpulan samun bertopeng yang kita cari selama ini.
“Kita percaya mereka terlibat lebih daripada 50 kes sejak awal tahun. Dua daripadanya (suspek) ada rekod lari daripada sekatan POCA di Johor,” ujar Arjunaidi.
Bagaimanapun, mengulas mengenai penunggang e-hailing yang digilis itu, jelas Arjunaidi, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
Namun tidak dapat dipastikan kecederaan mangsa sehingga kini.