39 PENDATANG LEMAS BOT TERBALIK
39 PENDATANG LEMAS BOT TERBALIK
TUNIS: Sekurang-kurang 39 pendatang lemas apabila dua bot dinaiki mereka terbalik, semalam, menurut Kementerian Pertahanan Tunisia.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 165 mangsa dalam kejadian itu, setakat ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mohamed Zekri, berkata operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara berikutan keadaan waktu malam dan cuaca buruk.
Hingga kini, belum dapat dipastikan punca dua bot berkenaan terbalik.
Namun, bot membawa pendatang yang meninggalkan pesisir Afrika Utara untuk ke Eropah lazimnya adalah buatan sementara dan padat dengan muatan berlebihan serta bertolak pada waktu malam, walaupun ketika cuaca buruk, bagi mengelak daripada dikesan pengawal pantai.
GAMBAR HIASAN
Kementerian Pertahanan memaklumkan, 39 mayat sudah ditemui, setakat ini.
Jurucakap Pengawal Nasional Tunisia, Houcem Eddine Jebabli, pula berkata sekurang-kurang sembilan wanita dan empat kanak-kanak terkorban, lapor AFP.
Menurut pihak berkuasa, bot terbabit membawa pendatang yang kebanyakannya dari sub-Sahara Afrika untuk menuju ke Eropah, namun dikesan oleh pengawal pantai di luar pelabuhan Sfax, Tunisia.