382 PELATIH PULAPOL POSITIF COVID-19
382 PELATIH PULAPOL DISAHKAN POSITIF COVID-19
KUALA LUMPUR: Seramai 264 lagi pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di sini disahkan positif COVID-19, hari ini.
Jumlah terbaru itu menjadikan secara keseluruhan seramai 382 pelatih disahkan positif selepas ujian saringan dan pemeriksaan dilakukan sejak minggu lalu.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata selain 382 pelatih, turut dikesan positif adalah 46 kakitangan yang bertugas di PULAPOL.
“Pada masa ini kita tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar dan masuk ke pusat latihan berkenaan selain menghentikan semua aktiviti dan latihan.
“Pada masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menempatkan semua yang positif di MAEPS Serdang untuk proses rawatan dan kuarantin,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Ramli Din berkata, sebahagian pelatih yang dikesan positif sejak dari awal sudah ditempatkan di MAEPS manakala sebahagian lagi akan dihantar ke sana dalam masa terdekat.
“Kita juga pada masa ini turut menjalankan proses sanitasi di beberapa lokasi di dalam PULAPOL,” katanya.
Sebelum ini pada 27 Januari lalu, KKM mengumumkan mengesan kluster tempat kerja di Jalan Sultan Yahya Petra, namun tidak memaklumkan secara khusus lokasi kluster berkenaan.
Kluster pertama ini dikesan pada 26 Januari selepas seorang individu berusia 58 tahun yang menjalani ujian dan saringan dikesan mempunyai gejala dan disahkan positif COVID-19.