36 Pasar Tani kekal telah dibina di seluruh negara
36 Pasar Tani kekal telah dibina di seluruh negara
LIPIS – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina 36 buah lokasi Pasar Tani kekal (PTK) di seluruh negara yang dengan melibatkan keseluruhan pembinaan berjumlah RM152.97 juta.
Seramai 2,323 peserta Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) telah mendapat faedah dalam menjalankan perniagaan dan pencapaian nilai jualan PTKM sehingga September 2022 mencatatkan sebanyak RM175 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usahawan tani tidak perlu risau lagi dengan faktor iklim seperti cuaca hujan, pemindahan tapak pasar disebabkan faktor pembangunan setempat.
“PTKM kini sudah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat kita, ia menjadi rutin hidup mingguan atau bulanan terutamanya bagi kaum ibu untuk membeli barangan segar serta keperluan dapur untuk keluarga masing-masing.
“Konsep PTKM bertujuan untuk mewujudkan luang pasaran kepada petani dan usahawan untuk memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna di bawah tapak yang kekal,” katanya di Majlis Pecah Tanah PTKM Kuala Lipis, semalam.
Katanya, volume urusniaga dan pendapatan usahawan akan meningkat dan dapat mengurangkan masalah pemasaran hasil-hasil pertanian masing-masing.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan pertukaran nama asal Pasar tani kekal (PTK) kepada Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) semasa ucapannya pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Sembilan, baru0baru ini.
“Untuk rekod, lima buah PTKM masih dalam pembinaan iaitu di Seberang Jaya, Kuala Kangsar; Putrajaya; Kuala Lipis dan Cameron Highland,” katanya.-SAHIH.