350 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN YAYASAN PETRONAS
350 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN YAYASAN PETRONAS
KUANTAN: Yayasan PETRONAS hari ini meneruskan tradisi sejak tahun 2005 dengan menyampaikan sumbangan kepada keluarga memerlukan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Seramai 350 keluarga dari daerah ini menerima sumbangan yang disampaikan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dalam Program Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2021, di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah.
Program itu turut dihadiri Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuantan, Liana Mohamed.
GAMBAR IHSAN YAYASAN PETRONAS
Che Ahmad Tarmizi berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha berpanjangan PETRONAS dalam membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan setiap kali tiba sambutan hari perayaan utama di negara ini, lapor KOSMO! Online.
“Memandangkan kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program hari ini kita teruskan dalam norma baharu dan seringkas mungkin.
“Setiap keluarga penerima diberikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, makanan dalam tin selain pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.
“Yayasan PETRONAS berharap sumbangan ini dapat meningkatkan rasa kasih sayang antara kita dan menambahkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina setiap keluarga menerima sumbangan hari ini,” katanya.
Che Ahmad Tarmizi berkata, secara keseluruhan seramai 700 keluarga di Pantai Timur Semenanjung menerima sumbangan Yayasan PETRONAS melalui program Sentuhan Kasih bagi perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
Selain Kuantan, Yayasan PETRONAS turut menyampaikan sumbangan sama di tiga daerah di Kelantan membabitkan 200 penerima dan 150 lagi penerima di daerah Dungun, Terengganu.