350 kanak-kanak dalam Parlimen Jerantut ikuti program berkhatan
350 kanak-kanak dalam Parlimen Jerantut ikuti program berkhatan
Foto atas: Seorang kanak-kanak yang sedang menjalani proses berkhatan di Pusat Kesihatan Bandar Jerantut, pagi ini.
JERANTUT- Pejabat Parlimen Jerantut mengadakan Majlis Berkhatan Perdana dan seramai 350 orang kanak-kanak berusia antara 9 hingga 12 tahun daripada golongan B40 diadakan di Pusat Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, pagi ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, majlis berkhatan yang diadakan itu sebagai satu usaha untuk membantu kanak-kanak khususnya golongan B40 yang terkesan dengan pandemik, oleh itu pejabat parlimen mengadakan program itu.
“Majlis berkhatan itu meliputi kanak-kanak golongan B40 yang ada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Tahan dan Pulau Tawar dan diadakan secara berperingkat mengikut penempatan masing-masing.
“Sebenarnya program seperti ini telah diadakan sebelum ini, tetapi terhenti seketika kerana pandemik yang tidak memungkin kita berkumpul, oleh kerana dalam keadaan yang sudah agak lega, maka program ini disambung semula,”katanya.
Katanya, program ini mendapat kerjasama daripada pihak pejabat kesihatan daerah Jerantut dan pusat Klinik kesihatan serta Balai Bomba Jerantut.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato Mohd Khairi berkata, sebanyak 11 pasukan meliputi 30 doktor dan penolong pegawai perubatan terlibat dalam program ini.
“Ini sebagai sumbangan khidmat masyarakat pegawai dari pejabat ini yang dituntut dalam agama, selain itu kami turut tidak terkecuali mendekati masyarakat melalui usaha yang dilaksanakan oleh pejabat parlimen Jerantut.
“Teknik berkhatan digunakan adalah dorsal slit yang begitu popular dan mengikut prosedur garis panduan dan seragam berkhatan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Seorang peserta program, Zulfikri Naim Zulkarnain, 12 tahun, berkata, pada mula dia agak gugup, tapi bila sampai di klinik ramai rakan sebaya turut mengikuti program itu, kegugupan itu bertukar menjadi gembira.-SAHIH.