34,700KG BERAS SELUDUP BERNILAI RM138,800 DIRAMPAS
34,700KG BERAS SELUDUP BERNILAI RM138,800 DIRAMPAS
RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am(PGA9) merampas 34,700 kilogram (kg) beras seludup bernilai RM138,800 di Kampung Bendang Buyung, Jalan Jedok di Tanah Merah, jam 3 pagi, hari ini.
Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Sanudin Md Isa, berkata ketika kejadian pegawai dan anggota bertugas membuat serbuan sebuah stor yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan beras seludup dari Thailand.
Katanya, sebaik sampai di lokasi pintu stor dalam keadaan berkunci dan intipan dibuat melalui celahan pintu yang mendapati terdapat sebuah treler jenis Volvo FM12 dalam keadaan mencurigakan.
“Sejurus selepas itu, terdapat seorang lelaki dipercayai pemilik stor terbabit yang datang menghampiri kawasan berkenaan, dan anggota mendekatinya untuk memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Pemeriksaan ke atas treler dilakukan dan menemui 564 kampit beras dengan berat 50kg bagi setiap guni di dalam treler terbabit, manakala 130 kampit lagi berada di dalam stor berkenaan.
“Selain itu, pemeriksaan ke atas buku stor mendapati stok beras yang ada melebihi daripada yang dicatat selain jawapan punca kemasukan beras daripada pemilik turut meragukan,” katanya.
Sanudin ditemui pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ops Benteng COVID-19dari PGA9 kepada PGA7 di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini.
Katanya, kesemua beras, treler, dokumen permit pemindahan, invois berkaitan dan buku stok stor dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Batu Gajah, Tanah Merah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Barangan rampasan ini kemudian diserahkan kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Kelantan, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1964.
“Hasil siasatan awal juga mendapati, kesemua beras ini dibawa masuk melalui pangkalan haram di sepanjang Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah dan dipercayai untuk pasaran Kelantan dan seluruh negara, lapor BH ONLINE.
“Kita juga mendapati penyeludup cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menukar paket baharu menggunakan logo yang menyerupai beras Malaysia,” katanya.