SESB PANTAU KESAN CUACA BURUK
Berita Nasional
SESB PANTAU KESAN CUACA BURUK
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengarahkan pasukan teknikal syarikat itu memantau talian bekalan elektrik berikutan keadaan cuaca buruk di negeri ini sejak semalam.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan, berkata langkah itu bagi mengelak gangguan bekalan akibat tiang atau pokok tumbang dan bencana lain seperti tanah runtuh.
Pemantauan berterusan sepanjang keadaan cuaca tidak menentu juga bagi memastikan kerosakan dapat dibaiki atau dialihkan segera demi keselamatan orang ramai.
“Angin kencang dan hujan lebat yang berterusan sejak semalam boleh menyebabkan tiang dan pokok tumbang, hakisan tanah dan banyak lagi. Dengan itu, pasukan teknikal SESB diarahkan untuk bersiap sedia memantau kestabilan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas akibat cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SESB juga akan membuka bilik gerakan sekiranya keadaan cuaca berterusan.
Laporan mengenai tiang elektrik tumbang, talian terputus atau gangguan bekalan boleh disalurkan ke SESB Careline di talian 15454, 088-51500 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-8525427.