344 Sudah Daftar, PLKN 2.0 Sasar Penuh Sebelum 16 Mei
344 Sudah Daftar, PLKN 2.0 Sasar Penuh Sebelum 16 Mei
LIPIS – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 kini giat berjalan dengan proses pendaftaran pelatih bagi siri kedua sedang berlangsung, melibatkan dua kem utama di Pekan, Pahang (untuk lelaki) dan Kuala Lumpur (untuk wanita).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, seramai 344 pelatih telah mendaftar setakat 11 Mei lalu, iaitu 206 lelaki dan 138 wanita daripada sasaran keseluruhan 550 pelatih.
Beliau berkata demikian selepasmenyempurnakan Program Veteran MADANI ATM Negeri Pahang, di Kampung Bapong, Lipis.
“Kita beri tempoh sehingga 16 Mei ini untuk pendaftaran. Saya menyeru bukan sahaja pelatih, tetapi ibu bapa juga perlu ambil tanggungjawab pastikan anak-anak mendaftar,” katanya ketika ditemui media.
Menurut beliau, tiada isu pelatih tidak dimaklumkan kerana semua nama telah disenarai pendek dan diberikan maklumat lengkap sebelum ini. Justeru, tiada alasan untuk tidak hadir ke kem masing-masing sebelum tarikh akhir pendaftaran.
PLKN 2.0 kali ini merupakan inisiatif baharu kerajaan bagi memupuk semangat jati diri, disiplin serta kesedaran kenegaraan dalam kalangan belia Malaysia. Program ini juga memberi pendedahan awal terhadap nilai-nilai patriotisme dan kepimpinan.
“Latihan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kepada negara. Kita mahu anak muda lebih bersedia, bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga mental dan sahsiah diri,” ujarnya.
Kementerian turut membuka ruang kepada mereka yang mempunyai halangan untuk mendaftar awal, namun mengingatkan bahawa tempoh yang ada semakin suntuk.
“Kita yakin sasaran 550 pelatih boleh dicapai menjelang 16 Mei ini,” tambah Adly.-SAHIH