33 pondok Tahfiz musnah dalam kebakaran
33 pondok Tahfiz musnah dalam kebakaran
KUANTAN – Struktur bangunan daripada kayu yang dipercayai agak lama dan tiada pili bomba berdekatan mengakibatkan 33 buah pondok tahfiz di Madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular, dekat sini musnah kira-kira jam 9.30 pagi, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pahang (JBPM), Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kebakaran merebak begitu cepat disebabkan struktur bangunan daripada kayu dipercayai agak lama.
“Pihak kami telah sampai dalam tempoh yang singkat kira-kira 10 minit selepas dimaklumkan tetapi disebabkan kayu bangunan ini sudah lama dan juga kedudukan antara pondok begitu rapat dan ada antaranya seolah bumbung itu bercantum.
“Selain itu pihak bomba menghadapi kesulitan kerana ketiadaan pili bomba dan terpaksa menggunakan air dari sungai berhampiran sejauh kira-kira 300 meter dari lokasi kebakaran,” katanya.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi Bomba Pahang bergegas ke tempat kejadian dengan tiga jentera termasuk jentera tangka air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Geneng dan Indera Mahkota.
“Kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa kerana semua pondok tidak mempunyai penghuni ketika kejadian kerana sedang bercuti.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 10.30 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.-SAHIH.