32 MURID TERIMA SUMBANGAN PAKAIAN RAYA
32 MURID TERIMA SUMBANGAN PAKAIAN RAYA
JERANTUT: Seramai 32 orang murid Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya (SKJJ) ceria untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi setelah 68 guru dan kakitangan sekolah itu memberi sumbangan berupa kelengkapan pakaian hari raya.
Guru Besar sekolah itu, Rodziah Mohd Razali berkata, kesungguhan sepasukan guru dan kakitangan sekolah itu memberi sumbangan untuk menceriakan murid yang kurang bernasib baik menyambut Aidilfitri tidak lama lagi memberi kegembiraan kepada 32 murid sekolah itu.
“Saya bersyukur guru dan kakitangan sekolah ini dapat mengumpulkan dana dari pendapatan masing-masing untuk membantu murid yang telah dikenal pasti yang memerlukan bantuan agar mereka turut gembira menyambut hari raya.
“Seramai 32 orang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan dengan dana tersebut, seorang murid yang layak menerima peruntukan sebanyak RM100 seorang untuk membeli kelengkapan hari raya di sebuah pasar raya di bandar ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, sebelum ini, seramai 40 orang murid turut menerima bantuan bakul makanan yang diserahkan kepada keluarga masing-masing termasuk makanan berbungkus secara pandu lalu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa bulan Ramadan ini, dana itu turut dikumpul daripada guru dan kakitangan sekolah itu.
Sementara itu, guru penyelaras projek itu, Siti Norma Ibrahim berkata, pemilihan murid yang layak menerima adalah di kalangan anak yatim yang terdapat dalam pangkalan data sekolah.
“Dana dipungut sepanjang bulan April tahun ini dan bersyukur kerana pungutan itu membolehkan murid memilih sendiri pakaian, songkok dan kelengkapan yang diperlukan untuk persiapan berhari raya.
“Seramai 17 murid lelaki dan 15 murid perempuan dipilih menerima sumbangan ini pergi memilih sendiri pakaian kegemaran mereka di pasar raya ini,” katanya.