3,000 ROHINGYA DIPINDAHKAN
3,000 ROHINGYA DIPINDAHKAN
DHAKA: Bangladesh memindahkan kumpulan keempat kira-kira 3,000 pelarian Rohingya ke Bhasan Char, penempatan di pulau terpencil di Teluk Benggala.
Setakat ini, penempatan yang boleh memuatkan 100,000 orang itu sudah menempatkan 10,000 pelarian termasuk 3,000 yang terbaru.
GAMBAR HIASAN
Menurut satu kenyataan rasmi, Dhaka ingin memindahkan segera pelarian Rohingya dari kem di sempadan negara itu di tenggara, di mana hampir sejuta minoriti Islam itu hidup dalam keadaan daif sejak melarikan diri dari Myanmar pada 2017.
Menurut pegawai kanan Tentera Laut Bangladesh, Anwarul Kabir, kira-kira 2,000 lagi pelarian dipindahkan ke Bhasan Char Isnin lalu dan 1,000 lagi semalam.
Pemindahan mereka menyusuli penempatan semula kira-kira 7,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak Disember tahun lalu dan Januari tahun ini.
Penempatan baharu Bhasan Char merangkumi pulau seluas 53 kilometer persegi yang terletak tiga jam perjalanan dari pelabuhan Chittagong di tenggara, lengkap dengan kemudahan perumahan dan infrastruktur lain, lapor AFP.
Timbalan Pesuruhjaya bagi Pelarian di Bangladesh, Mohammad Shamsud Douza, berkata warga Rohingya berkenaan berpindah secara sukarela ke pulau itu selepas diyakinkan oleh mereka yang sudah berada di sana.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berlaku pertempuran antara kumpulan pengedar dadah Rohingya di kem pelarian Bangladesh hingga beberapa orang terbunuh dan cedera.
Pihak berkuasa Bangladesh berkata mereka berharap dapat memindahkan lebih ramai pelarian ke pulau itu sebelum musim taufan April hingga Mei dan monsun antara Jun hingga September.