30 SEKOLAH DITUTUP DI LAHAD DATU
Berita Nasional
30 SEKOLAH DITUTUP DI LAHAD DATU
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah menutup 30 sekolah mukim Bandar, Silam dan Silabukan di Lahad Datu, hari ini.
Pengarahnya, Dr Mistrine Radin, berkata tindakan itu satu usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Mulai 23 September (hari ini) bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19, sebanyak 30 sekolah di mukim Silam, Silabukan dan Bandar akan ditutup sementara waktu satu sehingga pemberitahuan yang akan dimaklumkan kelak.
“Langkah ini untuk membantu Jawatankuasa Bencana Daerah dan Kementerian Kesihatan dan juga atas nasihat Kementerian Pendidikan.
“Bagaimanapun, pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di kelas masih dilaksanakan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam di sekolah menengah.
“Saya berharap agar guru dan pelajar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan wabak COVID-19,” katanya semalam.
Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut menjelaskan pembelajaran bagi kelas prasekolah sehingga tingkatan empat akan dilaksanakan secara dalam dan luar talian sepanjang tempoh penutupan sekolah, di samping menggalakkan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL).
Sementara itu, Mistrine turut memperinci beberapa sekolah yang masih ditutup untuk tujuan nyah-kuman.
Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Tiger di Tawau, tiga sekolah di Kunak iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak, SK Kunak Jaya dan SK Kunak 2 serta penutupan beberapa kelas di SK Silabukan.
Beliau berkata, sembilan sekolah di Lahad Datu juga terbabit, iaitu SMK Agaseh, SMK Silabukan, SK St Dominic, SK St Stephens, SK Bikang, SK Permai, SK Pekan, SK Binuang dan SMK Tungku.
Semalam, Sabah merekodkan sebanyak 60 kes COVID-19 yang baharu membabitkan kluster baru, Kluster Bangau-Bangau di Semporna.
Selain itu, peningkatan kes COVID-19 turut direkodkan membabitkan beberapa kluster di pantai timur Sabah, iaitu Kluster Benteng LD sebanyak 624 kes, Kluster Pulau sebanyak 35 kes dan Kluster Selamat sebanyak 25 kes.
Sekolah yang ditutup:
- SMK Segama
- SMK Sepagaya
- SMK St Dominic
- SJKC Yuk Choi
- SJKC Siew Ching
- SJKC Chee Vun
- SK St Dominic
- SK Kennedy Bay
- SK Lahad Datu IV
- SK Unico Desa
- SK Payang
- SK Lahad Datu III
- SK Terusan
- SK Silam
- SK Tanjung Paras
- SK Sepagaya
- SK Lahad Datu II
- SK Alamania
- SK Jeroco
- SK Tawaiyari
- SMK Terusan
- SJKC Kiau Shing
- SK Bukit Balacon
- SK Batu 6 1/2 Segama
- SK Pekan
- SMK Silabukan
- SK Permai
- SK Silabukan
- SK Sabah Cocoa
- SK Bakapit