30 Penghuni PJMM beriadah di Pengakalan Balak, Melaka
Foto atas : Warga emas , ahli jawatankuasa, petugas dan sukarelawan merakam kenangan sebelum menyertai pelbagai acara pada Program Hari Keluarga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka, baru-baru ini
30 Penghuni PJMM beriadah di Pengakalan balaik, Melaka
Pihak pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu serta sukarelawan yang prihatin membawa 30 penghuni untuk beriadah di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka pada 15 Februari lalu.
Program Hari Keluarga PJMM semalam dua hari itu diserikan dengan kemeriahan pelbagai acara sukaneka, senamrobik, makan malam dan cabutan nombor bertuah yang mengabungkan warga emas dengan petugas serta sukarelawan ternyata amat menghiburkan terutama penghuni terbabit walaupun sebahagian besarnya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata mereka lupakan semua kesusahan serta kepenatan apabila terpaksa memapah, mengangkat warga emas yang berkerusi roda atau memimpin mereka menaiki serta turun dari bas untuk ke resort itu.
Menurutnya, petugas, sukarelawan dan individu prihatin yang turut serta tidak merungut kerana terpaksa bergabung tenaga demi keselesaan warga emas terbabit untuk melihat dunia luar, pemandangan cantik tepi pantai sambil menghirup udara segar yang sekali gus menenangkan jiwa mereka.
Jelasnya, apabila waktu makan tengah hari, minum petang dan makan malam warga emas terbabit tetap disantuni dengan baik sebagaimana berada di PJMM malah petugas dan sukarelawan mengutamakan mereka dahulu untuk menjamah menu disediakan.
“Sebagai sebuah pusat jagaan tidak berbayar yang diwujudkan atas dasar untuk memberi pembelaan dan usaha kami tidak didendangkan, warga emas ini tetap disantuni dengan sempurna malah mereka bertuah apabila pelbagai pihak seperti agensi korporat, NGO dan individu prihatin sentiasa menginfakan bantuan.
“Dalam situasi tertentu PJMM juga terpaksa menagihkan bantuan dengan banyak pihak terutama dari segi keperluan harian, sumber makanan dan sebagainya untuk warga emas ini tidak terbantut kerana kesihatan mereka amat diutamakan.
“Seperti program ini berjaya diadakan sebahagian besar hasil sumbangan pihak dan mereka yang memberi sokongan kerana prihatin mahu melihat warga emas terbabit berlibur luar dari pusat jagaan,” katanya.
Antara pihak yang terbabit memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan selain daripada individu perseorangan termasuklah Group Hambamu, Pertubuhan Sukarelawan Kasih, Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, XMRSM KT82–86, Aceakl Property Management Sdn Bhd, Aqrab Al Istiqamah dan sebagainya.
Sementara itu, seorang warga emas terbabit, Mohammad Lim Abdullah, berkata dia sememangnya sudah lama menunggu peluang untuk keluar beriadah dengan berlibur jauh dari pusat jagaan itu bagi mengurangkan rasa bosan terperap dalam bilik.
Menurutnya, hendak mengharapkan kepada anak atau waris bawa berjalan-jalan hanya impian sahaja kerana dia sebatang kara di PJMM dan jika ada saudara mara pun tidak tahu di mana mereka semua berada sekarang.
“Saya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat jika ingin berjalan kerana kaki di sebelah kiri menggunakan kaki palsu kerana sudah dipotong akibat penyakit kencing manis,” katanya.
Rakan beliau, Elias Othman, berkata walaupun masih mampu berjalan namun tidaklah segagah dahulu kerana kini dia semakin uzur tetapi tetap berasa gembira dapat menyertai petugas dan sukarelawan dalam sukaneka serta senamrobik.
“Dalam permainan tertentu mereka terpaksa mengingatkan saya apa yang perlu dibuat dan seronoknya apabila dapat bersaing dengan kumpulan yang bertanding.
“Jika saya sudah tiada nanti, saya berharap pihak pengurusan PJMM dapat meneruskan program ini untuk rakan-rakan yang masih ada kerana beriadah mampu memberi kesan dalam menghilangkan tekanan perasaan,” katanya. – SAHIH.