30 BURUNG UNDAN DI PATAH SAYAPNYA
30 BURUNG UNDAN DI PATAH SAYAPNYA
ORANGE, CALIFORNIA – Lebih 30 ekor burung undan perang ditemui cedera di California, Amerika Syarikat, yang membawa kepada pemburuan dalang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, lapor akhbar New York Post semalam.
Kesemua 32 ekor burung air itu muncul di Pantai San Clemente dan Huntington baru-baru ini, dan daripada kesemua itu, 10 daripadanya mengalami patah tulang.
“Seseorang dengan sengaja telah mematahkan sayap burung-burung undan tersebut.
“Kami memerlukan bantuan anda untuk mencari dalang yang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini. Sila jadi mata dan telinga kami,” kata Pusat Penjagaan Tanah Lembap dan Hidupan Liar dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, seorang doktor haiwan, Elizabeth Wood berkata, kecederaan yang dialami burung-burung undan itu adalah serius sehingga memerlukan pembedahan kecemasan dan penjagaan jangka panjang.
“Seekor burung undan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan dengan segera untuk mengeluarkan kesemua serpihan yang memasuki lukanya yang terbuka.
“Selain itu, terdapat juga tulang yang terkeluar menerusi kulit dan sayap yang dipulas ke arah bertentangan,” ujarnya, lapor Agensi.
Susulan insiden tersebut, Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California menawarkan ganjaran berjumlah AS$500 (RM2,069) bagi individu yang tampil memberikan maklumat mengenai perbuatan kejam itu.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang klu, suspek, motif atau bukti yang ditemui.