3 SUSPEK UTAMA DITAHAN DI HOTEL RESIDENSI
SUSULAN KES BUNUH PESARA MARDI, ROMPAK JURUTERA
KUALA LUMPUR: Tiga suspek kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ditahan ketika bersembunyi di sebuah hotel residensi di ibu negara, petang semalam.
Ketiga-tiga suspek ditahan bersama tujuh lagi lelaki dipercayai kenalan mereka di residensi itu di Jalan Anjung Putra, Off Jalan Sultan Ismail, lapor BH Online yang memetik sumber.
GAMBAR HIASAN
Mereka ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Wangsa Maju.
Pada masa ini, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan tujuh lagi lelaki tersebut.
“Polis turut menemui kereta digunakan semasa kejadian samun berkenaan yang diletakkan suspek di stesen minyak di Taman Melati,” kata sumber tersebut.
Tiga suspek utama itu dilapor memecah masuk kediaman Dr Wan Hassan Wan Embong, di Bukit Bandaraya, Bangsar sekitar jam 3.30 pagi hingga berlaku pergelutan dan menyebabkan bekas Pengarah MARDI itu maut.
Suspek sama kemudian memecah masuk sebuah banglo tiga tingkat didiami lebih 10 mangsa di Taman Tasik Titiwangsa, pada jam 5.30 pagi.
Di lokasi kejadian samun kedua itu, suspek dipercayai membuang dompet milik Wan Hassan ketika melarikan diri.
Berdasarkan maklumat dan siasatan, ketiga-tiga suspek ditahan di residensi di Jalan Anjung Putra pada jam 4 petang, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dijangka mengadakan sidang media berhubung penangkapan suspek jam 3 petang ini.