3 MAUT KERETA BERTEMBUNG
3 MAUT KERETA BERTEMBUNG
Kuala Lumpur: Dua beradik dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.30 tengah malam membabitkan kereta Proton Satria Neo dan Mazda BT 50.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Satria Neo dipandu Muhammad Hafiz Md Isa, 32, datang dari arah Kepong menghala ke Bulatan Segambut hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan.
Katanya, ia mengakibatkan kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki Lee Pan Nee,43 dan adik lelakinya, Lee Veeran, 35.
“Akibat kemalangan itu mereka yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dah bedah siasat akan dibuat selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor HM online.
Beliau berkata, ketika kejadian adik-beradik itu yang berniaga ikan dalam perjalanan ke pasar borong untuk membeli ikan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Video/gambar: Media sosial