3 LAGI KEMATIAN DIREKODKAN
PUTRAJAYA: Tiga kes kematian dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan COVID-19 sebanyak 360 kes.
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kes berkenaan membabitkan lelaki warganegara berumur antara 22 hingga 66 tahun.
“Kematian terbabit dilaporkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Hospital Labuan dan Hospital Lahad Datu, Sabah,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, dilaporkan BH Online.
Sementara itu katanya, Malaysia mencatatkan pertambahan 1,212 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 65,697 kes dengan jumlah kebolehjangkitan 10,578 kes.
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, wujud sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Bagi penularan tempatan pula, Selangor mencatatkan jumlah harian tertinggi hari ini iaitu 402 kes diikuti Sabah, 326 kes dan Negeri Sembilan, 141 kes,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 2,112 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif pulih di negara ini sebanyak 54,759 atau 83.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.