3 DITAHAN TERMASUK RELA
Berita Jenayah
3 DITAHAN TERMASUK RELA
KULIM: Tiga individu termasuk bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditahan kerana memiliki senapang patah dan senapang angin buatan sendiri.
Tangkapan dilakukan melalui tiga kejadian berasingan di sekitar daerah ini pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata tangkapan pertama seorang lelaki yang ditemui membawa senjata api disyaki senapang patah di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Baru Labu Besar, dekat Sungai Kob, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.
Katanya, suspek yang juga penganggur terkejut melihat kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kulim yang menjalankan tugas di lokasi terbabit, melepaskan tembakan polis dan cuba melarikan diri, namun ditangkap.
“Pemeriksaan fizikal menemui selaras senapang bersama kelongsong peluru, satu beg silang kelabu mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 0.61 gram, tiga peluru hidup jenama Remington 12 GA dan satu batang besi.
“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media hari ini.
Siasatan lanjut ke atas suspek, beliau berkata mendapati senjata api itu dibeli daripada seorang lelaki di Sungai Kob, kira-kira dua tahun lalu dengan harga RM300.
Justeru, katanya serbuan lanjuut dilakukan di sebuah kediaman di Kampung Kuala Tawar, dekat Sungai Kob pada jam 4 petang Selasa lalu dan menahan seorang lagi suspek berusia 54 tahun.
“Siasatan menemui beberapa butir peluru tabur masih belum digunakan di bawah tilam dalam bilik tidur suspek, sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua senapang patah buatan sendiri disembunyikan dalam almari di rumah terbabit,” katanya.
Azhar berkata, polis turut menahan seorang bekas anggota RELA berusia 83 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Chempedak di Sungai Kob pada hari sama jam 6 petang selepas didapati menjual dua senapang buatan sendiri yang ditemui dalam serbuan di rumah suspek kedua.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui selaras senapang patah dan beberapa butir peluru tabur yang masih belum digunakan.
“Suspek mempunyai lesen milikan senjata api (Lesen A), namun turut ditangkap dan senjata serta peluru yang ditemui dirampas untuk siasatan lanjut.
“Semakan mendapati, suspek pertama dan kedua mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes culik, pecah rumah, curi dan dadah,” katanya.
Azhar berkata, semua suspek mengaku memiliki senjata api berkenaan untuk tujuan menembak haiwan liar.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.
“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.