3 DAERAH DI KEDAH DILANDA BANJIR
KUALA LUMPUR: Penduduk di beberapa kawasan di tiga daerah di Kedah terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang bermula sejak 3 petang tadi.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata daerah terjejas ialah Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda.
GAMBAR HIASAN
“Di Kulim, empat mukim terjejas iaitu Mukim Sungai Ular di mana 21 buah rumah di Kampung Paya ditenggelami air, melibatkan 105 mangsa. Kesemua mereka telah dipindahkan ke kawasan yang selamat, namun buat masa ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
“Di Mukim Padang Meiha pula, 15 mangsa dari lima rumah di Kampung Manggis telah dipindahkan, manakala bagi Mukim Padang Cina dan Sungai Seluang yang turut terjejas kita masih belum menerima maklumat penuh,” katanya dalam kenyataan malam ini dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata bagi daerah Bandar Baharu, kawasan yang terjejas ialah Mukim Serdang melibatkan empat buah kampung, iaitu Kampung Sungai Punti, Kampung Lombong A Batu 16, Kampung Tengah dan Kampung Bukit Buluh.
“Seramai 25 mangsa dari lima rumah di mukim itu telah dipindahkan selepas paras air naik hingga 0.4 meter berikutan hujan lebat turun sejak 3 petang tadi. Ini menyebabkan air di Sungai Punti naik mendadak sehingga melimpah ke jalan utama dan kampung berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata tiga kawasan dilanda banjir kilat di daerah itu membabitkan Kampung Huda, Taman Kenari Jaya dan Kampung Haji Wahab.