3 BERADIK MAUT, IBU PARAH
TIGA BERADIK MAUT, IBU PARAH
IPOH: Tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang, di sini, petang tadi, disahkan sebagai adik-beradik.
BH Online melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah, berkata mangsa yang maut dikenali Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis yang berusia tujuh tahun serta dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim dan Muhammad Affan Hafiy, masing-masing berusia tiga tahun dan setahun.
Sementara itu, katanya ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang memandu Perodua Axia terbabit cedera parah.
“Empat beranak itu dikatakan tersepit dalam kenderaan selepas terbabit kemalangan dengan treler yang berada di laluan kecemasan kira-kira jam 3.50 petang, sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
“Tiga beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibu mereka cedera parah dan dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Mengulas kejadian itu, beliau berkata kemalangan terlebih dahulu membabitkan dua treler di lorong kiri jalan, sebelum kedua-duanya masuk ke lorong kecemasan.
“Pihak PLUS yang datang meronda di lokasi kemalangan dan memberi bantuan serta kawalan lalu lintas, sebelum tiba-tiba Perodua Axia dinaiki empat beranak merempuh treler terbabit.
“Difahamkan, kereta dari arah sama itu berada di lorong kanan sebelum hilang kawalan dan berpusing melanggar bahagian belakang treler yang membawa muatan elektronik yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, punca kematian masih belum dikenal pasti dan bedah siasat akan dilakukan kira-kira jam 3 petang esok.
“Sehingga kini, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.