3 ADUN PAHANG BELUM TERIMA SUNTIKAN DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19
3 ADUN PAHANG BELUM TERIMA SUNTIKAN DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19
KUANTAN: Hanya tiga daripada 42 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pahang masih belum mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketiga-tiga ADUN terbabit sudah mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum menangguhkan pengambilan dos pertama vaksin berkenaan.
WAN ROSDY WAN ISMAIL
“Mereka bukan menolak vaksin, tapi tidak mengambil suntikan (dos pertama) atas nasihat doktor.. mungkin atas faktor kesihatan dan selepas ini, saya percaya tiga ADUN berkenaan akan mendapatkan suntikan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendapat suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech di sini, hari ini.
Wan Rosdy turut melancarkan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) pada majlis sama.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Sementara itu, mengulas mengenai SICP, Wan Rosdy berkata, sistem itu dikendalikan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang bagi memudahkan proses pendaftaran orang ramai yang layak mendapat suntikan vaksin.
GAMBAR HIASAN
“SICP adalah nilai tambah kepada aplikasi MySejahtera dan tujuan kerajaan Pahang memperkenalkan SICP adalah untuk memudahkan dan menyenangkan orang ramai.
“Melalui SICP, rakyat Pahang boleh melakukan pendaftaran secara walk – in dengan memberikan nama ke pusat vaksinasi yang disediakan.
“Melalui SICP ini juga, kita harapkan lebih ramai rakyat Pahang yang tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit sebagai contoh, untuk mendaftarkan diri mereka dan kita harap melalui usaha ini, kita dapat menyelesaikan proses pemberian vaksin kepada semua rakyat Pahang menjelang Februari tahun hadapan,” katanya.