247 Terima Sumbangan Santunan Kasih
247 Terima Sumbangan Santunan Kasih
KUANTAN – Seramai 247 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan pada Majlis Santunan Kasih peringkat DUN Pelangai, Jumaat lalu.
Sumbangan disampaikan ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun di perkarangan masjid Simpang Pelangai, dekat Bentong.
“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan menaikkan semangat kepada semua penerima untuk menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, selepas majlis berkenaan, Johari meluangkan masa melawat tapak pusat haemodialisis di Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi, Bentong.
Pusat hemodialisis itu bakal siap sepenuhnya pada hujung bulan September dan boleh beroperasi awal tahun 2024.
“Seperti sedia maklum kawasan Pelangai merupakan kawasan luar bandar, jadi para pesakit yang memerlukan rawatan buah pinggang terpaksa menempuh sekitar sejam perjalanan untuk ke pusat hemodialisis yang terdekat bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sehubungan dengan itu, saya selaku ADUN Pelangai berusaha sekeras mungkin merealisasikan impian penubuhan pusat kesihatan ini untuk memudahkan urusan para pesakit sekitar DUN Pelangai.
“Alhamdulillah hasil kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Bentong dan semua kepimpinan terdahulu, Pusat Hemodialisis ini dibina dalam kawasan Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi dan bakal dilengkapi dengan kemudahan 10 mesin dialisis serta perkhidmatan secara percuma akan diberikan kepada warga DUN Pelangai bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.-SAHIH.