4 MASJID DITUTUP SEMENTARA
Berita Nasional
4 MASJID DITUTUP SEMENTARA
KUANTAN: Empat masjid di daerah ini diarahkan tutup sementara susulan seorang jemaah di kawasan itu dijangkiti COVID-19.
Empat masjid terbabit ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap; Masjid Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin; Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah, Paya Besar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, penutupan empat masjid berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force Jumaat lalu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Pada mesyuarat itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta meneliti keperluan untuk mengarahkan masjid sekitar rumah individu yang disahkan positif COVID-19 tidak mengadakan solat Jumaat dan ditutup sementara.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak berlaku penularan atau jangkitan kes.
“Walaupun ini adalah keputusan yang berat, namun demi keselamatan masyarakat setempat kerajaan terpaksa mengambil langkah pencegahan awal supaya ia merebak pada pihak lain.
“Saya berharap masyarakat tidak terlalu cemas berikutan terdapat kes COVID-19 di daerah ini dan Jerantut kerana KKM serta agensi berkaitan sudah mengambil langkah pencegahan seperti yang ditetapkan,” katanya dihubungi di sini hari ini.
Norolazali berkata, masyarakat diingatkan supaya terus mengamalkan normal baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, menjaga kebersihan dan tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai.