24 PINDAH KE PPS AKIBAT BANJIR KILAT
24 PINDAH KE PPS AKIBAT BANJIR KILAT
TELUK INTAN: Seramai 24 mangsa daripada tiga kawasan, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Chikus Langkap, di sini, susulan banjir kilat akibat limpahan air Sungai Batang Padang, hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, PPS berkenaan yang menempatkan sembilan keluarga dari Parit 3 dan Kampung Batu Pecah, Chikus serta Kampung Belakang Kedai, Degong dibuka pada 3 petang.
Menurutnya, air sungai melimpah dan mula memasuki kawasan penempatan penduduk pada 12 tengah hari susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
“Mangsa yang dipindahkan ke PPS membabitkan 10 lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak lelaki.
“Ada juga beberapa penduduk berpindah ke rumah saudara berhampiran.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Air naik setinggi satu meter di kawasan rumah penduduk yang terjejas dan ketika ini cuaca agak mendung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, ketika ini, paras air Sungai Batang Padang adalah setinggi 14.50 meter.
Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan dan tinjauan dari semasa ke semasa.