24 PATI DIBERKAS
CUBA MENYUSUP KELUAR DEKAT SEMPADAN SERUDONG-KALABAKAN
KALABAKAN: Trup tentera darat menahan 24 pendatang tanpa izin warga Indonesia dalam Op Benteng ketika mereka cuba menyusup keluar untuk pulang ke negara asal mereka melalui Serudong dekat Kalabakan Ahad lalu.
Markas Divisyen Kelima Infrantri (5 Div) dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, seorang lelaki yang juga pemegang kad pemastautin tetap dan bekerja sebagai pemandu lori di sebuah ladang sawit turut ditahan.
Gambar Hiasan
Tangkapan pertama membabitkan enam pendatang yang menaiki sebuah lori dipandu lelaki berkenaan.
“Selang 15 minit, tangkapan kedua dilakukan membabitkan 16 lagi pendatang haram menaiki lori lain dan kemudian tangkapan ketiga membabitkan dua pendatang yang menaiki sebuah motosikal,” menurut kenyataan itu disiarkan Bernama.
Menurut kenyataan, siasatan awal mendapati kesemua 24 pendatang tanpa izin terbabit bekerja di sebuah ladang sawit yang sama di Kalabakan.
“Kesemua tahanan berserta barang rampasan termasuk 50 kilogram gula, motosikal dan lori dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut,” katanya.