232 Pelajar Pahang Di Jordan Dipantau – MB
232 Pelajar Pahang Di Jordan Dipantau – MB
BENTONG – Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus memantau keselamatan 232 pelajar Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan susulan konflik membabitkan Iran dan Israel.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menunggu laporan rasmi daripada Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Saya difahamkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan kenyataan bahawa satu genjatan senjata telah dicapai antara Teheran dan Israel.
“Kita anggap ini perkembangan positif, namun kerajaan negeri tetap bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang situasi yang mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 1,028 pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang, di sini, semalam.
Wan Rosdy dalam ucapannya turut menasihatkan semua pemimpin JPKK agar menjalankan tugas dengan penuh integriti dan menjadi mata serta telinga kerajaan di peringkat akar umbi.
“Mereka perlu menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan. Apa sahaja isu atau masalah kampung perlu disalurkan segera kepada Tok Empat atau kepada pihak atasan untuk tindakan susulan.
“Kita tak mahu berlaku pilih kasih atau amalan kronisme. Semua masalah perlu ditangani secara adil dan menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, setiap JPKK menerima bantuan permulaan sebanyak RM500 dan akan menerima tambahan RM500 lagi dalam tempoh terdekat bagi tujuan pengurusan, termasuk peralatan pejabat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM1 juta menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kepada Pengerusi JPKK, Pengerusi JPKKOA, Tok Batin dan Pengerusi JKK bagi memperkukuh peranan mereka di peringkat kampung.-SAHIH