DITAHAN KETIKA ASYIK BERJUDI
SERDANG: Seramai 23 individu yang sedang leka membuat pertaruhan ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan keluarga di pusat beli belah di Persiaran Serdang dekat sini, malam tadi.
Mereka dikesan menjalankan kegiatan judi komputer.
Dalam serbuan kira-kira jam 9.50 malam itu, polis turut menahan dua penjaga kaunter warga asing terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.
Memetik laporan BH Online, Kesemua 23 lelaki tempatan yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan perniagaan pusat hiburan keluarga dan mempunyai 60 mesin untuk pelbagai permainan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati 14 daripada mesin itu adalah mesin judi komputer dan pemain boleh mendapat keuntungan daripada mesin-mesin judi komputer yang disediakan di situ.
“Pemain akan menukar wang di mesin token dan pemain akan bermain di mana-mana mesin judi komputer yang disediakan,” katanya.
Katanya, sekiranya pemain memperoleh keuntungan, pemain itu akan diberikan kad tebus nilai yang boleh ditukarkan kepada wang tunai.
“Urusan penukaran kad tebus nilai kepada wang tunai akan dibuat secara bersembunyi di dalam tandas oleh pemain dan penjaga kaunter.
“Ini dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” jelas beliau.
Menerusi serbuan itu juga, polis merampas 14 mesin judi komputer, sebuah mesin penukar token, 500 token, 207 kad tebus nilai dengan nilai antara RM30 hingga RM250 serta wang tunai berjumlah RM773.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Serbuan menerusi Op Khas Perjudian itu dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.