BELALANG JUTA MUSNAHKAN 500 HEKTAR TANAMAN
Berita Global
BELALANG JUTA MUSNAHKAN 500 HEKTAR TANAMAN
WINDHOEK : Namibia memasuki fasa terdesak untuk mengawal penularan dahsyat tahun ini, namun bukan pandemik COVID-19 yang dimaksudkan.
Kehadiran kumpulan belalang juta yang menyuramkan langit juga tidak kurang menakutkan.
Setakat ini, pihak Kementerian Pertanian Namibia berkata, serangga itu sudah memusnahkan 500 hektar kawasan rumput dan tanaman di Timur Laut negara berkenan.
Reuters yang memetik kenyataan menterinya Calle Schlettwein melaporkan, sekurang-kurangnya 19 kawasan subur di rantau Zambezi yang bersempadan dengan Zambia, Zimbabwe Angola dan Botswana, diserang belalang juta sejak Ogos lalu.
Secara keseluruhan, 4,002 kilometer persegi ditakluk serangga yang sentiasa kelaparan itu, manakala 500 hektar kawasan berumput yang menjadi tempat haiwan ternakan meragut musnah.
Negara itu memerlukan kira-kira 30 juta dolar Namibia (RM7.38 juta) sebagai sumber sokongan untuk mengawal penularan menggunakan kaedah semburan racun.
Beberapa negara jiran yang terjejas dengan dilema sama, sudah menggunakan kaedah itu.
Oleh kerana Namibia belum memulakannya, populasi belalang juta dari negara jiran itu berhijrah ke Namibia.
Penularan serangga perosak itu susulan kejadian pertama pada Februari lalu.
Spesies belalang juta bersayap merah yang lazim ditemui di sub-Sahara Afrika, membiak dengan pantas merentasi musim kemarau, hujan dan pertumbuhan semula tanaman.
Timbalan Pengarah Eksekutif Kementerian Pertanian, Sophia Kasheeta, berkata sumber kewangan yang amat diperlukan itu boleh didapatkan daripada sektor swasta, kerajaan atau sesiapa sahaja yang boleh menyumbang.
Setakat ini, Pertubuhan Makanan dan Agrikultur adalah antara badan antarabangsa yang menghulurkan bantuan.