2,000 KILOGRAM IKAN PELALING UNTUK PENDUDUK TERKESAN
2,000 KILOGRAM IKAN PELALING UNTUK PENDUDUK TERKESAN
KUANTAN: Jika sebelum ini kita biasa mendengar mengenai kewujudan Bank Makanan bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19, rangkaian pasar raya borong MO Wholesales beribu pejabat di sini, mencipta kelainan dengan memperkenalkan inisiatif ‘Fish Bank’.
Program itu dilaksanakan pagi tadi, bermula jam 8.30 pagi di perkarangan pasar raya berkenaan yang terletak di Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, idea memperkenalkan ‘Fish Bank’ itu tercetus selepas mendapati masih belum banyak pihak menawarkan bantuan barangan basah kepada orang ramai, terutamanya yang berdepan masalah kehilangan punca pendapatan berikutan penularan COVID-19 sejak setahun lalu.
“Kalau sebut ‘Food Bank’ memang kita sudah biasa dengar dan ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka (yang terkesan), cuma bantuan barangan basah seperti ikan, agak jarang kita dengar.
“Jadi, dari situ kami dapat idea untuk melancarkan program ‘Fish Bank’ ini dan hari ini, kami menyediakan kira-kira 2,000 kilogram (kg) ikan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar bandar raya Kuantan.
“Memandangkan daerah ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi kita melakukan pengagihan secara pandu lalu dan ini adalah bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi,” katanya ketika ditemui ketika program berkenaan berlangsung, pagi tadi.
Mohd Rofzan berkata, setiap penerima akan memperoleh dua kilogram ikan jenis Pelaling dan proses pengagihan 2,000 kg ikan berkenaan selesai sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya pihak MO Wholesales bagi membantu kumpulan yang terdepan masalah kehilangan sumber pendapatan, Mohd Rofzan berkata, pihaknya akan melancarkan Bank Makanan di perkarangan pasar raya miliknya itu tidak lama lagi, di samping meneruskan pengagihan ikan percuma dari semasa ke semasa.
“Program hari ini adalah sebagai permulaan dan kita juga sedang merancang untuk menyediakan rak ‘Food Bank’ di pasar raya kami untuk memudahkan mereka (yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan) mendapatkan bantuan barangan keperluan asas.
“Begitu juga dengan program ‘Fish Bank’ ini, kita akan teruskan dari semasa ke semasa, bergantung kepada bekalan ikan yang kita perolehi.
“Macam hari ini, kita agihkan ikan jenis Pelaling kerana stok yang banyak Ketika ini adalah ikan jenis itu, kalau selepas ini ada stok (banyak) ikan jenis lain, kita agihkan ikan (jenis) lain pula,” katanya yang memaklumkan program sama akan diperluaskan ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat.
Katanya, program ‘Fish Bank’ sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu, dalam masa terdekat. – SAHIH