200 REMAJA KECEWA TIDAK DAPAT VAKSIN
200 REMAJA KECEWA TIDAK DAPAT VAKSIN
JERANTUT: Kira-kira 200 orang remaja kecewa tidak berjaya mendapat suntikan vaksin AstraZeneca yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut yang dibuka secara ‘walk-in’ hari ini.
Makluman untuk suntikan vaksin yang ditularkan melalui aplikasi whasapp oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut pada jam 11.00 pagi, hari ini , mendapat sambutan menggalakkan terutama pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang sedang bercuti dan golongan muda.
Kenyataan media sosial itu menyatakan satu sesi “walk-in” bagi vaksin AstraZeneca sebanyak 154 dos disediakan untuk golongan 18 tahun ke atas secara siapa dahulu akan diberi vaksin (first come first serve) di Dewan Adtec mulai jam 2.00 petang sehingga selesai, hari ini.
Tinjauan SAHIH mendapati kereta berduyun menghala ke pusat pengajian itu sesak sehingga ke jalan utama Jalan Jerantut- Temerloh.
Kebanyakan kenderaan berpatah balik setelah dimaklumkan kuota 154 dos sudah dipenuhi.
Seorang pelajar semester dua , Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) , Afina Huda Amir (19) berkata, dia mendapat makluman itu melalui media sosial daripada kawannya.
“Saya mengambil peluang ini kerana sudah mendaftar dengan MySejahtera tetapi belum mendapat sebarang temujanji untuk divaksinasi.
“Peluang ‘walk-in’ ini diambil ketika saya sedang bercuti semester, andai semester 3 dibuka dan diarahkan balik ke IPTA, saya sudah bersedia dengan vaksinasi,” ketika ditemui.
Seorang pelajar diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Sani Abd Aziz (20), berkata, dia hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seawall jam 1.00 petang setelah mendapat maklumat tersebut.
“Ketika tiba di lokasi, saya lihat sudah ramai yang hadir, kebanyakannya berusia 18 tahun ke atas dan pelajar yang sedang bercuti semester.
“Sampai di pintu utama Adtec, saya dimaklumkan oleh petugas untuk berpatah balik kerana kuota 154 dos sudah habis,” katanya yang datang bersama kawannya yang turut kecewa.
Katanya, dia berharap pihak berkaitan membuka banyak lagi peluang secara ‘walk-in’ di beberapa PPV yang ada di sekitar bandar Jerantut walaupun dia sudah mendaftar dengan MySejahtera.-SAHIH.