724 petani dan nelayan Jerantut terima sumbangan IM Pahang
724 petani dan nelayan Jerantut terima sumbangan IM Pahang
JERANTUT – Seramai 724 penerima dalam kalangan petani, penternak dan nelayan di daerah ini menerima bantuan Inisiatif Muafakat (IM) Pahang Kluster B40 yang disampaikan pada satu majlis khas, semalam.
Majlis penyerahan sumbangan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh, yang turut menyampaikan bantuan berbentuk wang tunai bernilai RM200 setiap seorang.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman, yang bersama-sama menyempurnakan penyampaian bantuan kepada penerima terpilih.
Menurut Razak, seramai 200 penerima daripada sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Jerantut diraikan pada majlis itu, daripada jumlah keseluruhan 700 penerima di daerah berkenaan.

Razak Daud – AJK umno bahagian jerantut
“Bagi saya, ini adalah peluang untuk bersama turun padang menyantuni masyarakat akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang kepada sektor makanan negara.
Sumbangan ini walaupun kecil diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan yang berlangsung meriah dengan kehadiran wakil agensi serta pimpinan tempatan.

Sementara itu, Haris dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terbela, khususnya golongan B40 yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian dan perikanan.
“Program IM Pahang ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam mendampingi masyarakat, selain mengiktiraf sumbangan besar petani, penternak dan nelayan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan,” jelasnya.-SAHIH