20 PEKERJA DIKOMPAUN GAGAL PATUHI SOP
20 PEKERJA DIKOMPAUN GAGAL PATUHI SOP
LIPIS : Dua puluh orang pekerja dikenakan kompaun oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Lipis sempena Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Ops Patuh di daerah ini, hari ini.
Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi melibatkan penugasan seramai 13 orang pegawai dan 46 orang terdiri daripada anggota PDRM , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia serta kakitangan Majlis Daerah Lipis dan Pejabat Kesihatan Daerah membabitkan pemeriksaan sebanyak 17 buah premis, kilang dan tapak pembinaan serta 95 orang turut diperiksa.
Ketua Polis Daerah Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, tiga buah tapak pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) telah diperiksa dan hasilnya lokasi (CSR) di Simpang Gua didapati seramai empat orang pekerja tiada penjarakan fizikal, manakala seorang pekerja namanya tidak tersenarai dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun dikenakan kompaun.
“Kita juga membuat pemeriksaan di lokasi tapak CSR, kilometer 20 Padang Tengku mendapati kecuaian yang sama, iaitu seramai empat orang tiada penjarakan fizikal dan seorang pekerja tidak didaftarkan di bawah MITI serta seorang lagi gagal mengimbas kod QR.
“Masing-masing pekerja di tapak pembinaan CSR dikenakan kompaun bernilai RM2,000 atas kesalahan tersebut,” katanya di sini.
Menurut Azli, Ops Patuh juga melibatkan penugasan tiga kumpulan pemantau yang diketuai seorang pegawai PDRM juga memeriksa premis, kilang dan stesen minyak di daerah ini.
“Semasa operasi ini, polis telah mengenakan kompaun masing-masing bernilai RM2,000 kepada enam orang pekerja beberapa premis kerana tiada memakai pelitup muka, tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera seramai 2 orang dan seorang pekerja namanya tiada tersenarai dalam MITI,” katanya.
Azli berharap orang ramai dan pekerja di semua premis wajar mematuhi SOP terutamanya penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mempunyai aplikasi MySejahtera dan berdaftar di bawah MITI yang terlibat dengan kerja di kawasan pembinaan.
“Polis menerusi Ops Patuh sama ada ketika membuat pemantauan tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun bagi kesalahan tersebut sebagai usaha menyedarkan masyarakat supaya mematuhi SOP PKP khususnya membantu kerajaan memulihkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berpenghujung,” katanya.-SAHIH.