20 MINIT MELARAM DENGAN MPV POLIS
SUSPEK DIBERKAS DI PLAZA TOL KAMUNTING
TAIPING: Seorang lelaki hanya sempat melaram 20 minit dengan kereta peronda (MPV) milik polis sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya di Taiping Utara, berhampiran susur masuk Plaza Tol Kamunting, pagi tadi.
Suspek sebelum itu melarikan MPV yang diletak dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada jam 7.28 pagi dengan meninggalkan kenderaannya jenis Ford Fiesta.
MPV milik PDRM yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula berhampiran susur masuk Plaza Tol Kamunting
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata suspek dari Selama, Perak ditahan bersama kenderaan yang dilarikan tidak sampai setengah jam.
“Suspek dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Osman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tindakan atau modus operandi suspek.