20 EKOR LEMBU DIBAHAM HARIMAU
KESAN TAPAK KAKI HARIMAU DITEMUI BERHAMPIRAN LEMBU YANG MATI
DUNGUN – Seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, di sini tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.
Pengurus FELDA Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada dua minggu lepas dan dalam tempoh tersebut enam ekor lembu milik dua penternak mati dibaham pak belang.
“Kehadiran harimau di sini sudah dikesan lama sejak 2018 lagi. Saya anggarkan ada empat hingga lima ekor harimau berkeliaran di lokasi berbeza dan mereka jadikan lembu penternak sebagai sasaran.
“Tahun ini saja 20 ekor lembu mati akibat dibaham dan serangan terbaharu dikesan pada 24 November lalu. Dalam tempoh seminggu itu, tiga ekor lembu milik seorang penternak turut dibaham.
“Lembu-lembu ini bukan semua dimakan. Ada yang diseret pergi, ada dimakan sebahagian anggota sahaja dan ada ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.
Mohd Azimi berkata, ancaman haiwan karnivor berkenaan kemudian dilaporkan kepada
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum pasukan itu memasang perangkap pada Rabu lalu.
Bagaimanapun katanya, perangkap yang dipasang menggunakan umpan kambing tidak membuahkan hasil kerana harimau terbabit masih terus menyerang dan menyebabkan lembu penternak mati.
“Walaupun perangkap sudah dipasang, tiga ekor lembu lain pula ditemui mati menjadikan enam lembu mati dalam tempoh dua minggu. Harimau itu seolah-olah tahu, perangkap dipasang di situ dia pergi ke lokasi lain pula,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan lebih agresif bagi memastikan serangan harimau tidak lagi berulang pada masa akan datang demi keselamatan haiwan ternakan dan juga penduduk.
Menurut Mohd Azimi, dia bimbang sekiranya tidak ditangani segera haiwan berbahaya itu mungkin akan menyerang manusia pula.
“Kita tahu harimau ini haiwan dilindungi dan hampir pupus tapi saya harap sangat ia diburu dan dipindahkan ke habitat lain supaya tidak lagi mengganggu haiwan ternakan serta meresahkan penduduk,” katanya.