20 DIBURU POLIS INGKAR SOP PKP
20 DIBURU POLIS INGKAR SOP PKP
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu kira-kira 20 individu dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berkumpul bagi menyambut Tahun Baharu Cina di Bukit Ketumbar, Ampang, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata sekumpulan individu terbabit didakwa turut menikmati makanan ‘Yee Sang’ di kawasan berkenaan.
“Ada satu video dari laman web portal media bahasa Cina menunjukkan kira-kira 20 individu lelaki dan perempuan sedang menyambut Tahun Baharu Cina di Bukit Ketumbar.
GAMBAR HIASAN
“Menerusi video itu, kumpulan itu dilihat menikmati ‘Yee Sang’. Terdapat kesalahan perlanggaran SOP PKP.
“Ada saksi menyatakan kejadian berlaku pada waktu pagi.
“Semua suspek terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 (3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, lapor BH Online.
Forouk berkata, orang awam diberi amaran dan diingatkan supaya mematuhi syarat PKP sedang dikuat kuasa pada masa ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.