2 PENJENAYAH WARGA ASING DITEMBAK
2 PENJENAYAH WARGA ASING DITEMBAK
TEMERLOH: Dua suspek dipercayai warga asing mati ditembak selepas terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan pegawai dan anggota polis dekat Kampung Charuk Puting, dekat sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu dipercayai menjadi dalang dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah dan curi dalam bangunan sejak tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama pegawai dan anggota JSJ Pahang dan Terengganu yang bertindak selepas melakukan risikan serta maklumat awam.
KETUA JSJ PAHANG, DATUK OTHMAN NANYAN KETIKA SIDANG MEDIA DI BILIK GERAKAN IPD TEMERLOH
“Pegawai dan anggota dari JSJ Pahang dan Terengganu melakukan operasi bersama hasil maklumat awam dan kira-kira jam 5 pagi tadi, mereka terserempak dengan sebuah kenderaan jenis TOYOTA Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jerantut-Temerloh.
“Sebaik pegawai dan anggota kami memperkenalkan diri, suspek bertindak memecut kenderaan itu dan cuba melanggar kenderaan dinaiki pasukan polis.
“Kenderaan suspek kemudiannya berjaya dipintas sebelum suspek mula melepaskan beberapa das tembakan ke arah pegawai dan anggota kami… mereka terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan akhirnya kedua-dua suspek terkena tembakan serta disahkan maut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang tadi.
Othman berkata, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan turut mengalami kecederaan ringan apabila tembakan dilepaskan suspek mengenai jaket kalis peluru yang dipakainya.
KETUA JSJ PAHANG, DATUK OTHMAN NANYAN (DUA DARI KANAN) MENUNJUKKAN KESAN TEMBAKAN DILEPASKAN SUSPEK YANG MENGENAI VEST KESELAMATAN DIPAKAI ANGGOTA POLIS
“Bagaimana pun, pegawai terbabit tidak mengalami kecederaan serius… dia sudah dirujuk ke hospital berhampiran bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek berkenaan dipercayai terbabit dalam kejadian pecah dan curi dalam bangunan di sekitar Pahang dan Terengganu sejak tahun lalu, dengan nilai anggaran kerugian kira-kira RM300,000.
“Siasatan masih diteruskan dan kita tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian lain serta terbabit dalam jenayah sama di negeri berhampiran.
SEBAHAGIAN DARIPADA BARANG KES DIRAMPAS DALAM KEJADIAN BERBALAS TEMBAKAN MEMBABITKAN ANGGOTA POLIS DAN SUSPEK
“Kereta TOYOTA Camry digunakan suspek bukan kenderaan curi dan hasil semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang pemilik warga asing,” katanya.
POLIS PERCAYA SUSPEK TURUT TERBABIT DALAM BEBERAPA SIRI KEJADIAN JENAYAH SAMUN DI SEKITAR DAERAH INI DAN DAERAH BERHAMPIRAN, TERMASUK NEGERI JIRAN
Pemeriksaan awal di dalam kenderaan dinaiki suspek membawa kepada penemuan sejumlah peralatan pecah rumah dan bangunan, termasuk sepucuk senjata api jenis revolver Smith & Wesson .38 bersama empat kelongsong peluru dan satu peluru; sebilah parang panjang; dua unit grinder; 44 mata grinder pelbagai saiz dan satu kuku kambing.