2 PARLIMEN, 5 ADUN TEWAS PEMILIHAN DAP PULAU PINANG
2 PARLIMEN, 5 ADUN TEWAS PEMILIHAN DAP PULAU PINANG
GEORGETOWN: Anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Ketua Wanita Pakatan Harapan Pusat, Chong Eng tewas dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh Ketua Pengawas Pemilihan Wong May Ing, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal hanya mendapat 575 undi, manakala Eng yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang mendapat 417 undi.
Sejumlah 1,608 undi diberikan kepada 44 calon yang bertanding dan hanya 15 calon yang mendapat undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri manakala lima lantikan tambahan dibuat Jawatankuasa Tertinggi selepas pemilihan tersebut.
Bagaimanapun, Ramkarpal turut terpilih pada lantikan lima tambahan itu.
Selain Ramkarpal, Ahli Parlimen yang turut tewas dalam pemilihan hari ini ialah Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, manakala seramai empat lagi ADUN ialah Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), Heng Lee Lee (Berapit), Lim Siew Khim (Sungai Pinang) dan M Satees (Bagan Dalam) juga tewas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berjaya mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi DAP yang disandang sejak 1999 dengan meraih jumlah undi tertinggi iaitu 1,211.
“Saya berharap semua yang dipilih akan berkerja keras dan membantu parti perangi tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan krisis politik untuk memenangi undi rakyat,” katanya, lapor BERNAMA.
Pasangan adik beradik yang dipilih ialah Phee Boon Poh dan adiknya Boon Chee selain adik perempuan kepada Setiausaha Agung parti pusat Lim Guan Eng, Lim Hui Ying turut kekal dalam jawatankuasa negeri.