2 MAUT KERETA TERBABAS, TERBAKAR
2 MAUT KERETA TERBABAS, TERBAKAR
Manjung: Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Jalan Kampung Colombia, Ayer Tawar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lelaki berusia 51 tahun dan wanita berusia 43 tahun yang dipercayai ada hubungan kekeluargaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar Nasaruddin Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.32 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kereta Proton Iswara dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Ayer Tawar sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan pokok di tepi jalan.
“Setibanya pasukan kami di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan kenderaan juga terbakar.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nasaruddin berkata, kereta mangsa terbakar 90 peratus dan pihaknya mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran itu, lapor HM online
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes masih dalam siasatan.