2 KONTRAKTOR BAUKSIT HUTANG RM5 JUTA
GAGAL BAYAR DEPOSIT KEPADA KERAJAAN PAHANG
KUANTAN: Dua kontraktor yang dipilih untuk menjalankan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang gagal membayar deposit sebanyak RM5 juta, setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, sekiranya dua kontraktor terlibat tidak membayar deposit sehingga hujung bulan ini, tawaran itu akan dihentikan secara automatik.
DATUK Nazri Ngah
“Kerajaan Pahang sudah benarkan aktiviti perlombongan bauksit, tetapi ia sudah tertakluk kepada syarat ketat termasuk bayaran deposit RM5 juta.
“Bayaran ini meliputi bayaran bon jaminan bagi memastikan masalah pencemaran yang membawa kepada pelaksanaan moratorium tidak berulang tetapi sehingga kini mereka (kontraktor) gagal berbuat demikian (bayar deposit),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) mengenai syarat deposit yang dikenakan terhadap kontraktor terlalu tinggi pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Jumaat lalu.
Gambar Hiasan
Memetik laporan Sinar Harian, Nazri berkata, sementara itu peneroka Felda di Bukit Goh yang berdepan dengan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana didakwa gagal membayar cukai semasa terlibat perlombongan bauksit, perlu merujuk kepada perjanjian mereka dengan pengusaha terlibat.
Katanya, peneroka perlu menyemak semula perjanjian itu dengan teliti dan berbincang dengan peguam bagi menyelesaikan masalah berkenaan.