19 SJR SELURUH KELANTAN
ARAHAN DIKELUARKAN SUSULAN PKPB
MACHANG: Polis Kelantan mengadakan 19 sekatan jalan raya di seluruh negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula, hari ini.
DEPUTI Komisioner Shafien Mamat
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata terdapat daerah yang dikenakan satu, dua dan tiga sekatan jalan raya bergantung kepada sempadan daerah masing-masing.
Katanya, bagi memastikan kelancaran sekatan jalan raya, seramai 200 anggota serta pegawai ditugaskan pada setiap sesi bermula tengah malam tadi, selain turut dibantu oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Gambar Hiasan
“Pada masa sama, kita juga memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan saya dimaklumkan pasukan berkenaan akan bersama-sama membantu dalam sekatan jalan raya pada hari Isnin ini.
“Selain itu, kita turut memohon bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah bagi memastikan rakyat patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemantauan Pematuhan PKPB di SJR Pulai Chondong, di sini, malam tadi. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Kelantan bermula hari ini sehingga 6 Disember.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, daerah Machang adalah kawasan hot spot bagi pelaksanaan PKPB di negeri Kelantan pada kali ini, berikutan penularan kluster Mengketil yang merebak dalam masa singkat iaitu dalam tempoh dua hari.
“Kluster Mengketil ini merebak dengan begitu luas sehingga ke beberapa daerah lain yang sebelum ini berada dalam Zon Hijau.
“Justeru, saya menyeru kepada penduduk khususnya di daerah Machang supaya lebih prihatin serta komited dalam menanganinya bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.