18,726 KELUARGA MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN
18,726 KELUARGA MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN
RAUB: Kerajaan negeri Pahang membelanjakan sebanyak RM 9.4 juta untuk membantu sebanyak 18,726 keluarga mangsa banjir yang terkesan di negeri itu melalui sumbangan wang ihsan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan wang ihsan itu akan disampaikan kepada semua yang terbabit akan selesai penyerahannya menjelang akhir bulan ini.
“Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima sumbangan sebanyak RM500 dan kita turut menunggu bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk membantu mangsa yang terkesan.
“Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 8 kluster yang terlibat dengan banjir yang bakal menerima bantuan mengikut kadar tertentu dengan kerosakan dan kemusnahan yang dialami oleh mangsa,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian di Majlis Permulaan Mengatasi Kekeruhan di Loji Rawatan Air Semantan, Kampung Kuala Liang, Raub, semalam.
Katanya, 8 kluster yang telah dikenalpasti tahap kerosakan dan kemusnahan yang dialami mangsa, sebagai contoh ada rumah musnah alatan barangan hampir 100 peratus, manakala terdapat rumah yang tidak terjejas tetapi terkepung oleh air.
“Maka kadar yang diterima oleh mangsa berbeza-beza mengikut kluster atau kategori kerosakan dan kemusnahan,” katanya.
“Anggaran kerosakan dan kerugian yang dialami akibat bencana banjir seluruh negeri Pahang sebanyak RM1.1 bilion,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 71 KIR yang terkesan akibat banjir telah menerima bantuan RM500 di majlis yang diadakan di perkarangan Masjid Cheroh, semalam.