1,850 unit rumah terbengkalai Generasi Kedua Felda dibaikpulih di Pahang
Foto atas : Deretan rumah Generasi Kedua Felda yang dibaikpulih di Felda Sungai Retang
1,850 unit rumah terbengkalai Generasi Kedua Felda dibaikpulih di Pahang
JERANTUT – Kerajaan Pahang membina dan membaikpulih 1,850 unit Rumah Generasi Kedua Felda di 10 tapak projek perumahan tersebut di empat daerah.
Daerah terbabit ialah, Maran iaitu di Jengka 6, Kampng Awah, Jengka 1, jengka 11 dan Bukit Tajau berjumlah 556 unit, Kuantan di Bukit Sagu (300), Jerantut di Sungai Retang, Kota Gelanggi 2 dan Jengka 12 (594) dan Rompin di Keratong 7 sebanyak 400 unit.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Projek Rumah Pahang yang terbengkalai itu adalah hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat khususnya generasi kedua memiliki kediaman sendiri.
“Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula projek yang terbengkalai sejak 15 tahun lepas dan dibina di atas tanah seluas 191.787 ekar di Maran, Jerantut, Kuantan dan Rompin.
“Rumah teres setingkat berkeluasan 800 kaki persegi yang dibina di atas tanah seluas 1,400 kaki persegi dijual pada harga RM120,000,” katanya.
Permohonan boleh dibuat melalui Lembaga Perumahan dan hartanah Pahang (LPHP) secara atas talian melalui erumahan.pahang.gov.my.
Pemohon yang layak adalah generasi kedua peneroka Felda dan menetap dan bekerja di Pahang dalam kawasan berkenaan sahaja atau gugusan yang sama.
Selain itu, jumlah pendapatan isirumah tidak melebihi RM5,000 sebulan dan tidak pernah memiliki kediaan di atas nama pemohon atau pasangan.
Pemilihan kepada mereka yang layak adalah melalui jawatankuasa pemilihan yang dikendalikan oleh LPHP dan dianggotai oleh pegawai daerah dan wakil rakyat di sesebuah kawasan.-SAHIH.