1,746 murid Jerantut terima BPP 2022
1,746 murid Jerantut terima BPP 2022
JERANTUT – Seramai 1,746 murid tahun satu di daerah ini menerima sumbangan awal persekolahan RM100 bagi sesi 2022 di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini hari ini.
Sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang 2022 itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.
Nazri berkata, sumbangan yang diberikan itu membabitkan 51 buah sekolah rendah dan ia menunjukkan keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi meringankan beban ibu bapa.
“Kerajaan negeri menyedari situasi semasa ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan anak-anak sekolah dan bantuan ini dapat menampung kewangan keluarga yang terlibat,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan sejak dari bayi yang baru lahir sehingga ke usia tua termasuk kematian akibat COVID-19.
“Kita juga sedang agihkan bakul makanan kepada mereka yang terlibat bagi meringankan beban menghadapi bulan Ramadan,” jelasnya.
Wan Rosdy sebelum ini mengumumkan seramai 25,146 murid tahun satu di seluruh negeri ini menerima sumbangan RM100 tanpa mengira kaum dan latar belakang.-SAHIH.