170 KG DAUN KETUM DIRAMPAS
170KG DAUN KETUM DIRAMPAS
KUALA PERLIS: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang cuba menyeludup 170 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan Op Benteng di Jalan Kampung Pulau Ketam, di sini.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam itu, anggota polis mengesan kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas menyedari diekori, pemandu berusia 23 tahun keluar dari kereta dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemui 17 bungkusan hitam yang di dalamnya mengandungi daun hijau, disyaki daun ketum di dalam but dan tempat duduk kereta,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.
Abdul Ghani berkata, lelaki itu dipercayai menetap di Padang Besar dan anggaran berat daun ketum berkenaan sebanyak 170 kg, manakala nilainya dianggarkan RM5,100.
Beliau berkata, polis merampas kereta berkenaan yang dianggarkan bernilai RM13,000 untuk membantu siasatan.
“Kita tidak menolak berkemungkinan daun ketum itu untuk diseludup ke negara jiran, namun siasatan masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.