17 LOKASI BAHARU WABAK DENGGI
17 LOKASI BAHARU WABAK DENGGI DI JOHOR BAHRU
JOHOR BAHRU: Daerah ini terus mencatatkan kes denggi tertinggi di Johor, apabila 17 lagi lokaliti wabak baharu dikesan sepanjang tempoh minggu epid ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata 17 lokaliti wabak denggi itu antara 20 yang dikesan sepanjang minggu epid ini, dengan baki tiga lagi membabitkan masing-masing satu di Kulai, Mersing dan Kluang.
GAMBAR HIASAN
Beliau turut mengesahkan sehingga kini 56 lokaliti wabak denggi masih aktif meliputi 53 di Johor Bahru serta masing-masing satu di Kulai, Kluang dan Mersing.
Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sejumlah 11,267 kes denggi direkodkan di Johor sehingga minggu epid 50 pada tahun ini, iaitu meningkat 7.4 peratus berbanding 10,490 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu 5,959 kes yang direkodkan adalah daripada lokaliti wabak.
“Pada minggu epid ini, sebanyak 149 kes demam denggi dilaporkan dan bilangan itu menunjukkan peningkatan 9.6 peratus berbanding minggu sebelumnya dengan 136 kes.
“Kumulatif kes kematian denggi sehingga minggu epid ini adalah sebanyak 42 kes dan jumlah ini meningkat 44.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 29 kes.
“Dari segi pecahan mengikut daerah, Johor Bahru merekodkan kes tertinggi dengan 116 kes atau 77.9 peratus, diikuti Kulai (12 kes, 8.1 peratus); Batu Pahat (lima kes, 3.4 peratus); Pontian (empat kes, 2.7 peratus); Mersing, Kluang dan Tangkak (tiga kes, 2 peratus); serta masing-masing satu kes atrau 0.7 peratus di Muar, Kota Tinggi dan Segamat,” katanya melalui kenyataan di sini, seperti yang dilaporkan BH Online.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan terus dijalankan anggota kesihatan di dalam dan luar rumah.
“Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan Aedes.
“Justeru, melalui tindakan penguatkuasaan dijalankan sebanyak 3,484 kompaun dikeluarkan, manakala dengan 74.2 peratus daripada sudah menjelaskan kompaun berkenaan,” katanya.