164 Notis Semakan Harga Ayam Dikeluarkan KPDNHEP Di Seluruh Negara
164 Notis Semakan Harga Ayam Dikeluarkan KPDNHEP Di Seluruh Negara
KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan 164 notis semakan harga kepada pemilik premis dan peniaga ayam di seluruh negara sehingga semalam.
Notis itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati harga runcit ayam segar mencecah RM11.50 bagi setiap kilogram (kg) minggu lalu.
Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan) KPDNHEP, Azman Adam berkata, serahan notis itu dibuat pegawai dan anggota penguatkuasa kementerian ketika melakukan operasi pemantauan harga sejak awal bulan ini, selepas menerima laporan daripada pengguna mengenai kenaikan terlalu tinggi harga ayam dijual di pasar raya dan pasar pagi.
AZMAN ADAM
“Semua pemilik premis dan peniaga yang menerima notis itu memberi kerjasama baik dan kebanyakannya sudah mula menurunkan harga runcit ayam di bawah RM10 mulai semalam.
“Pihak KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan (penetapan) harga ayam, ini termasuklah peringkat peladang, pemborong dan juga peniaga runcit bagi memastikan usaha untuk menstabilkan semula harga ayam dapat dilakukan tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan harga ayam di pasar raya dekat Temerloh, petang semalam.
Azman turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.
“Kita tidak ada masalah kalau mereka (peniaga) ingin mengambil untung, cuma kena ikut peraturan ditetapkan dan janganlah sampai menyulitkan pengguna. Jadi, pemeriksaan seperti ini akan diteruskan bagi memastikan hak semua pihak terjamin, peniaga pun boleh dapat untung dan pengguna juga boleh membeli tanpa rasa terbeban,” katanya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu harga kit ujian kendiri COVID-19 yang sudah mula dijual di farmasi sejak awal bulan ini, Azman berkata, pihaknya sudah melakukan kira-kira 2,000 pemeriksaan sejak 5 September lalu untuk memastikan peniaga menjual kit itu pada harga ditetapkan kerajaan.
“Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan, sebanyak 199 premis atau farmasi didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 di bawah harga ditetapkan kerajaan dan ini adalah satu petanda yang baik kerana mereka memahami keperluan kit ini memandangkan jumlah kes (positif) COVID-19 masih tinggi di negara kita.
“Jumlah atau stok kit ujian kendiri juga dijamin mencukupi dan buat masa ini, terdapat 5.34 juta kit ujian pantas berada di pasaran, jadi tidak ada masalah bekalan.
“Selain itu, kita juga dimaklumkan sebanyak 18 syarikat sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk membekalkan atau membawa masuk kit berkenaan untuk pasaran di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, peniaga yang didapati melanggar arahan penjualan kit ujian kendiri melebihi harga ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.-SAHIH