672 DITAHAN INGKAR PKP
672 DITAHAN INGKAR PKP
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 672 individu kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, dengan sebahagian besar membabitkan kesalahan aktiviti pusat hiburan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 643 individu terbabit dikenakan dikompaun, manakala 29 lagi direman.
“Kesalahan berkenaan meliputi aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25),” katanya dalam kenyataan, seperti yang dilaporkan BH Online hari ini.
Ismail Sabri turut memaklumkan, sebanyak 45,483 pemeriksaan dijalankan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
“Sebanyak 2,368 pasukan pematuhan membabitkan 10,582 anggota melakukan pemantauan di 3,482 pasar raya, restoran (4,814), penjaja (1,572), kilang (1,238), bank (3,124) dan pejabat kerajaan (699).
“Sebanyak 941 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air dan 84 terminal pengangkutan udara turut dipantau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 8,384 individu pulang dari luar negara sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 532 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan.
Sejak 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 89,479 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.