150,000 PENDUDUK BERA BAKAL DAPAT HOSPITAL BAHARU TAHUN DEPAN
150,000 PENDUDUK BERA BAKAL DAPAT HOSPITAL BAHARU TAHUN DEPAN
BERA: Hospital Bera bakal digunakan mulai tahun depan setelah tertangguh beberapa kali dan akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 150,000 penduduk di kawasan Parlimen Bera.
Hospital ini dijangka siap pada akhir tahun ini dan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja raya sebagai penguasa bangunan pada Januari atau Februari 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan hospital itu telah dimulakan pada Oktober 2010 oleh beberapa kontraktor yang menghadapi masalah sehingga kontraktor terakhir yang dilantik awal tahun 2021 telah berjaya menyiapkan sehingga 98 peratus siap.
“Kebanyakan bangunan di sini telah 100 peratus siap dan hanya memerlukan pembersihan dan kemasan akhir dan memasukkan alatan dan kelengkapan hospital, kos pembinaan yang asal sebanyak RM88 juta telah meningkat kepada RM130 juta.
“Hospital ini akan menempatkan 40 katil dan terdapat sembilan klinik termasuk klinik homodialisis bagi memberi kemudahan penduduk Bera dan turut disokong oleh perkhidmatan kesihatan oleh beberapa pusat kesihatan yang terdapat di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media dalam rangka lawatan ke Bangunan Hospital Bera, hari ini.
Katanya, selama ini penduduk di daerah ini perlu mendapat rawatan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dan penduduk di kawasan selatan Bera pula perlu ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapat rawatan khusus.
“Diharap tiada lagi gangguan yang boleh melengahkan persiapan hospital ini serta diharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menempatkan pegawai perubatan pakar di hospital ini.
“Hospital ini turut akan menempatkan 480 kakitangan pelbagai peringkat dan turut dilengkapi kuarters kakitangan dan mempunyai baki kawasan seluas 2.83 hektar untuk pembangunan masa depan,”katanya.
Sementara itu, sebelum itu, beliau turut bertemu kepimpinan parti UMNO, MCA dan MIC di sini.-SAHIH